Friday, November 26, 2010

PERTUNANGAN

Pagi ni aku baca entry seseorang. Blognya wajib ku jejak tiap hari. Tapi entrynya hari ni buat aku menitiskan air mata. Akhirnya aku bertemu ayat-ayat yang selalu ingin aku luah. Apa yang dia tuliskan mungkin bukan perkara baru tapi itu lah yang selalu bermain dibenakku. Segala yang ditulis telah pun terjadi padaku.

Ketika itu FB belum wujud dalam kamus hidupku. Cuma yang ada telefon saja. Aku cuba untuk merahsiakan acara itu tapi akhirnya pecah juga. Kawan-kawan mula menyindir dan aku mengambil keputusan untuk mewar-warkan acara itu. Bimbang dianggap sombong..lupa kawan dan entah seribu satu macam ayat yang tidak enak bermain difikiran. Ketika itu aku merasakan yang aku perlu berkongsi kebahagian dengan mereka yang ada di sekelilingku. Banyak hati yang perlu dijaga, aku tak mahu ada yang terluka hanya kerana aku mahu berahsia.

Namun acara itu indah khabar dari rupa. Aku menanggung malu. akibat kerenah pihak yang satu lagi. Segalanya kelam kabut. Sepanjang kami "diikat" bermacam perkara yang kerap buat aku berendam air mata. Aku anggap itu semua dugaan orang "darah manis". Tapi mungkin sudah tersurat dia bukan jodohku.Ikatan itu putus di tengah jalan. Bermulalah kisah "cakap-cakap belakang". Paling aku tak lupa seseorang  yang aku anggap sahabat menyebarkan cerita akulah punca. Katanya aku yang memutuskan ikatan itu kerana aku sudah tak mahukan "dia". Ya Allah kenapa dia sanggup buat begitu sedangkan dialah yang ada dari mula hingga akhir ikatan itu. Pada dia aku curahkan segalanya. Dia juga yang menjadi orang tengah ketika kami bermasalah. Tapi akhirnya menjadi duri dalam daging. Aku maafkan dia walau hatiku pedih kerana tak mahu bermusuh. 3 bulan selepas itu aku mendapat khabar bekas tunangku telah bernikah dengan seseorang yang dikenali ditempat kerjanya. Nyata jarak yang memisahkan kami membuat si dia beralih arah. Bodohnya aku kerana setia dengannya dulu. Cerita itu menutup mulut sahabatku seketika.

 
Takdir menemukan aku dengan seseorang yang tak disangka. Kami berkawan baik dan akhirnya mengambil keputusan untuk bertunang. Hanya keluarga dan sahabat bakal adik iparku saja yang tahu kisah kami. Aku nekad merahsiakan segalanya dari pengetahuan yang lain. Mungkin aku boleh dikategorikan trauma dengan kisah lalu. Teknologi hari ni membongkar ceritaku akhirnya. Di FB rahsiaku pecah akibat gambar-gambar majlis pertunangan kami diletak di fb bakal adik iparku. Sahabat yang satu mula tarik muka. Kecil hati. Tapi aku tetap nekad untuk terus merahsiakan hingga aku betul-betul yakin penghujung cerita ini. Aku biarkan mereka yang tertanya terus berteka-teki. Segala persiapan perkahwinan aku lengkapkan sendiri. Aku cari di internet, aku rujuk keluarga dan aku tanya orang yang berpengalaman. Memang perit menguruskan segalanya sendirian, tambahan pula aku anak tunggal perempuan. Ibuku pula ditahan di wad untuk menjalani radioterapi. Saudara mara cuma mampu bercakap dari jauh, maklumlah mereka juga punya komitmen sendiri.

Tiba harinya untuk aku melayangkan kad undangan. Ada juga yang aku sms saja kerana tiada alamat. Bertubi-tubi soalan datang. Aku cuma senyum. Aku telan saja ayat-ayat sindiran mereka. Biarlah mereka kata apa saja tapi aku tahu segalanya untuk kebaikan aku juga. Cukup sekali aku melaluinya dulu. Tak mahu pisang berbuah dua kali. Segalanya berjalan lancar hingga selesai majlis. Terkesan juga di wajah sahabatku itu air muka kecewa. Nampak kurang keiikhlasan. Terpulanglah.

Bulan hadapan sahabatku itu akan mengikat tali pertunangan. Segalanya di war-warkan di fb. Satu event dicipta untuk menjemput tetamu terkecuali aku. Mungkin dia membalas apa yang pernah aku lakukan dulu atau mungkin dia tak mahu aku hadir kerana kami tidak seperti dulu lagi. Allah telah bukakan mataku untuk melihat siapa dia.Sudahlah aku tak mahu fikir.

Membaca entry "dari hati kecil insan yang kerdil" pagi ini membuatkan aku tersedar aku tidak keseorangan.. Inilah yang aku mahu dari dahulu. Nyata penulis ini sependapat denganku. Terima kasih yang teramat sangat.

No comments:

Post a Comment