Pagi-pagi ni teringat pasal arwah abah lak. Mungkin pasal esok dijangkakan puasa (malam ni baru nak umumkan). Bila dah dekat masanya aku memang rindu sangat kat arwah. Kalau dia masih ada mesti hari ni dia tak kerja lepas tu pergi pasar cari lauk. Menu utama hari pertama sahur mesti ada ayam. Aku perasan tiap kali nak puasa mesti arwah beli ayam. Baginya awal puasa mesti disambut dengan meriah. Mungkin tak semeriah orang lain tapi bagi aku apa yang arwah buat masa tu memang istimewa untuk kami.
Kehilangan abah sewaktu aku berusia 25 tahun cukup meninggalkan kesan. Umur yang cukup matang untuk memahami erti kehilangan. Air mata hanya singgah di hari pemergiannya. Kemudian aku jadi lemah-selemahnya hingga tiada airmata lagi. Sememangnya kematian tidak harus ditangisi. Aku akur dengan makna itu. Sesekali runtuh juga tebing kesabaran, tapi hidup ni mesti diteruskan.
Semalam petang opismate ajak minum petang dekat satu warung depan sekolah. Sedang mulut mengunyah makanan sempat mataku menonton drama sebabak dari satu keluarga. Si ayah mendukung 2 orang anak lelakinya yang aku rasa lingkungan 5-6 tahun seorang demi seorang dari kenderaan yang dinaiki ke warung tu. Isterinya mengandung. Seorang wanita tua ayang aku rasa ibunya dan seorang lagi lelaki yang hampir sebaya si ayah tadi turut sama dalam keluarga ini. Semasa isterinya mengambil makanan si ayah duduk dimeja sambil memesan minuman untuk semua yang ada di meja. Bila si isteri duduk dia pula bangun. Aku nampak di kiri bahunya beg tangan si isteri dan di bahu kanan beg sandang si ayah ini. Agak sibuk lelaki ini ku lihat melayan kerenah anak-anaknya. Tiada nada tinggi yang ku dengar. Segalanya nampak menarik dan kanak-kanak itu agak tertib di meja makan.
Namun drama teresebut tidak berakhir di situ. Selesai menjamu selera si ayah kembali mendukung sorang demi seorang menuju kenderaan mereka. Dalam hati terlintas satu perkara "Bagusnya lelaki ni macam Bapa Mithali la" Aku Cakap kat opismate aku apa yang terlintas dalam hati. Dia pun terperasan gak. Lepas tu muka si ayah seiras penyanyi Saleem. Badan pun tersangat la kurusnya hahaha...tapi tabik spring la sebab dia boleh dukung hero-hero dia tu. Aku rasa tak ramai yang nak buat macam ni. Kadang-kadang dibiar je anak berlari-lari dalam kawasan kedai sampai orang nak makan pun jadi rimas.
Bila nampak situasi macam tu aku teringat arwah abah yang sentiasa melindungi aku. Tiap kali nak melintas dia akan pegang tangan aku. Bila berjalan dicelah-celah kesesakan manusia dia akan memegang bahu aku. Rindunya nak rasa saat-saat tu lagi. Alhamdulillah sekarang aku kembali merasai saat-saat itu. Walau mungkin tak sama perasaannya tapi masih mampu aku rasainya. Syukur padamu Ya-Allah kerana menganugerahkan aku seorang lelaki yang menyayangi aku seperti abah. Mungkin dia tidak sedar tapi aku merasainya.
No comments:
Post a Comment